SETIAP ringgit disumbangkan masyarakat atau diperuntukkan kerajaan, di sebaliknya tersimpan satu amanah besar perlu dipelihara dengan penuh integriti.
Dana awam bukan sekadar angka dalam penyata kewangan, tetapi mewakili harapan rakyat, kepercayaan penderma dan tanggungjawab institusi diamanahkan untuk menguruskannya.
Namun, apabila amanah itu dicemari penyelewengan, kesannya bukan sahaja membabitkan kerugian kewangan, malah menghakis keyakinan masyarakat terhadap organisasi sepatutnya berfungsi membantu golongan memerlukan.
Isu salah guna dana awam semakin mendapat perhatian apabila beberapa kes berprofil tinggi membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi kebajikan didedahkan kepada umum.
Situasi ini menimbulkan persoalan, sejauh mana sistem tadbir urus, pemantauan dan penguatkuasaan mampu memastikan setiap sen disumbangkan benar-benar sampai kepada sasaran.
Dana awam boleh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu dana diperuntukkan kerajaan dan dana dikumpulkan daripada orang ramai menerusi sumbangan atau derma.
Bagi NGO menguruskan dana hasil sumbangan masyarakat, tanggungjawab mereka amat besar kerana wang diterima perlu digunakan mengikut objektif penubuhan organisasi sama ada untuk pendidikan, kebajikan, bantuan kemanusiaan atau tujuan sosial lain.
Malaysia ketika ini mempunyai lebih 90,000 NGO berdaftar di bawah pelbagai peruntukan undang-undang, termasuk Akta Pertubuhan 1966, Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 1965, Akta Pemegang Amanah 1949 dan Akta Yayasan Labuan 2010. Setiap organisasi ini tertakluk kepada peraturan tertentu mengawal pengurusan serta penggunaan dana diterima.
Ketika ini tidak ada akta khusus mengawal selia penubuhan dan operasi NGO atau Organisasi Bukan Berorientasikan Keuntungan (NPO) di negara ini.
Berbanding di United Kingdom (UK), NGO atau NPO dikawal selia di bawah Akta Derma 2011 bagi membendung isu penyalahgunaan dana sumbangan individu atau syarikat kepada organisasi kebajikan.
Namun, realitinya tidak semua organisasi mengamalkan tahap tadbir urus baik kerana dalam banyak kes disiasat SPRM, penyelewengan berlaku apabila individu diberi tanggungjawab mengurus dana menyalahgunakan kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi.
Kesalahan paling lazim dikesan Bahagian Siasatan SPRM menerusi kes disiasat adalah pecah amanah, diikuti penggunaan dokumen palsu, penipuan dan salah guna kuasa.
Apa yang membimbangkan, dalam sesetengah kes penyelewengan itu membabitkan nilai jutaan ringgit bukan dilakukan secara bersendirian. Dalam sesetengah keadaan, ia membabitkan sekumpulan individu menguasai keseluruhan struktur organisasi bagi memudahkan urusan pengeluaran wang dan meluluskan perbelanjaan tanpa semakan bebas.
Modus operandi mereka memastikan individu menganggotai lembaga pengarah atau jawatankuasa pengurusan terdiri daripada pihak mempunyai hubungan rapat dan boleh dipercayai untuk melancarkan operasi berkenaan.
Keadaan ini menyebabkan mekanisme semak dan imbang yang sepatutnya menjadi benteng penyalahgunaan kuasa gagal berfungsi dengan berkesan.
Lebih membimbangkan, kemajuan teknologi dan penggunaan media sosial turut membuka ruang baharu kepada pihak tidak bertanggungjawab mengumpul dana secara agresif.
Platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok kini menjadi medium utama untuk meraih sumbangan orang ramai. Dengan memaparkan kisah menyentuh emosi, gambar golongan memerlukan dan elemen keagamaan, kutipan dana boleh diperoleh dalam tempoh singkat hasil daripada sikap rakyat Malaysia yang 'suka menderma'.
Ada pihak ambil kesempatan
Tidak dinafikan sebahagian besar NGO menggunakan pendekatan ini untuk tujuan sah. Namun, terdapat pihak mengambil kesempatan terhadap sifat pemurah rakyat Malaysia bagi mengumpulkan dana akhirnya digunakan bukan untuk tujuan asal, sebaliknya bagi kepentingan peribadi.
Antara faktor menyumbang masalah ini ialah kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan. Walaupun terdapat keperluan untuk organisasi mengemukakan laporan kewangan atau audit tahunan, masih ada gagal berbuat demikian tanpa tindakan susulan tegas. Kelompangan inilah membuka ruang kepada pihak tertentu memanipulasi sistem.
Dalam konteks penguatkuasaan, SPRM memainkan peranan penting bagi memastikan dana awam tidak disalahgunakan. Namun, setiap tindakan diambil bukan dilakukan secara sewenang-wenangnya. Sebaliknya, setiap aduan atau maklumat diterima perlu melalui proses penilaian ketat sebelum siasatan dimulakan.
Maklumat mempunyai asas kukuh akan disiasat segera, manakala maklumat masih mentah perlu dibangunkan terlebih dahulu melalui proses pengumpulan risikan, pemprofilan individu dan pengesanan aliran wang. Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap siasatan berasaskan fakta dan bukti mencukupi.
Prinsip 'tiada siapa mengatasi undang-undang' menjadi pegangan utama SPRM menjalankan tugas. Sama ada individu disiasat tokoh terkenal, pempengaruh media sosial, ahli perniagaan atau orang biasa, prosedur siasatan dilaksanakan secara profesional dan telus.
Pada era digital, sesuatu siasatan sering dihakimi lebih awal melalui media sosial sebelum fakta sebenar didedahkan di mahkamah. Pelbagai spekulasi dan tuduhan dilemparkan sehingga menimbulkan persepsi tindakan penguatkuasaan mempunyai motif tertentu.
Sedangkan keputusan mendakwa seseorang bukan ditentukan SPRM tetapi bergantung kepada pertimbangan Timbalan Pendakwa Raya berdasarkan keterangan dikemukakan.
Selain persepsi awam, siasatan kes lama turut menjadi cabaran besar. Dokumen kewangan tidak lagi disimpan institusi tertentu, khususnya selepas tempoh tujuh tahun, boleh menyukarkan proses mendapatkan bukti diperlukan.
Walaupun begitu, siasatan tetap diteruskan selagi terdapat asas dan keterangan boleh menyokong kes. Dalam usaha membendung penyelewengan dana awam, tanggungjawab tidak boleh diletakkan kepada agensi penguat kuasa semata-mata. Masyarakat mempunyai peranan penting sebagai barisan pertama pertahanan.
Sebelum membuat sebarang sumbangan, penderma khususnya perlu memastikan organisasi menerima dana adalah berdaftar dan mempunyai rekod pengurusan baik. Semakan mudah melalui sumber terbuka boleh membantu mengenal pasti latar belakang sesebuah organisasi sebelum keputusan untuk menderma dibuat.
Penderma atau individu disaran mengelakkan pemindahan wang ke akaun peribadi dan memastikan kutipan dibuat melalui akaun rasmi organisasi. Langkah ini mungkin kelihatan kecil, namun mampu mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.
Pada masa sama, pengurusan NGO perlu memahami kepercayaan masyarakat aset paling bernilai. Integriti, akauntabiliti, rekod kewangan teratur serta audit berkala bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan yang wajib dipenuhi.
Akhirnya, jejak dana awam tidak seharusnya berakhir dengan tanda tanya. Daripada peringkat peruntukan, kutipan, pengurusan hinggalah kepada penguatkuasaan, setiap proses perlu dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.
Hanya dengan gabungan tadbir urus kukuh, penguatkuasaan tegas dan kesedaran masyarakat tinggi, amanah terkandung dalam setiap ringgit dana awam dapat dipelihara demi kepentingan rakyat dan negara.
Penulis ialah Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Sumber : Beritta Harian Online