Wanita pengurus koperasi didenda RM30,000 atau penjara 6 bulan guna dokumen, maklumat palsu mohon pinjaman peribadi

Tarikh: 18/11/2026
img

JOHOR BAHRU: Pengurus koperasi didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas tuduhan menipu dengan mengemukakan dokumen palsu bagi permohonan pembiayaan peribadi empat tahun lalu.

Hakim N Kanageswari menjatuhkan hukuman itu atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda terhadap Ku Siti Zulaikha Mohamed Zakkariya, 39, yang membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan itu pada 3 November lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan pilihan, dia didakwa menipu dengan memperdayakan Ibrahim Ali, 61, menggunakan dokumen sokongan mengandungi butiran palsu untuk permohonan pembiayaan peribadi.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fazal Lisam Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam, Azlan Bohari.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Azlan dalam rayuannya memohon hukuman denda bawah RM10,000 atas alasan anak guamnya sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama pada masa depan.

"Pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa semua pihak terutamanya mahkamah. Anak guam saya sudah berumah tangga dengan mempunyai lima anak termasuk yang bongsu masih menyusu badan.

"Selain itu, tertuduh menanggung ibunya yang uzur berusia 66 tahun. Tertuduh berpendapatan RM4,000 sebulan sebagai pengurus koperasi. Ini kesalahan kali pertamanya dan tertuduh telah insaf," katanya.

Fazal Lisam bagaimanapun memohon hukuman yang setimpal dan bersesuaian sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda berkenaan dan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda selain wang jaminan RM10,000 dipulangkan.

Pada 3 November lalu, tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Kanageswari dan mahkamah menetapkan hari ini sebagai tarikh untuk mengemukakan fakta kes dan jatuh hukum.

Mengikut fakta kes, pada September 2022, tertuduh selaku Pengurus KOOPJB memohon pembiayaan peribadi Bai' Al-Inah berjumlah RM56,000, sedangkan hanya layak menerima pembiayaan bersih RM33,938.22.

Difahamkan, laporan kredit SPKC-S tertuduh menunjukkan dia mempunyai baki hutang tertunggak RM8,068, penggunaan kredit 69.90 peratus dan tunggakan bayaran selama tujuh bulan.

Bagi membolehkan permohonannya diluluskan, tertuduh didakwa mengarahkan penolongnya mengubah suai laporan dengan meminda Risk Grade daripada 1 (weak) kepada 5 (fair) serta mengubah beberapa maklumat kewangan berkait baki hutang, penggunaan kredit dan rekod tunggakan bayaran.

Ibrahim yang juga Pengerusi KOOPJB kemudian meluluskan permohonan pembiayaan tertuduh selepas meneliti Risk Grade 5 (fair) itu dalam laporan SPKC-S yang dikemukakan tanpa menyedari maklumat kewangan lain dalam laporan itu telah diubah suai.


Sumber; Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel