VVIP kes RCI-TH bakal didakwa minggu depan - SPRM

Tarikh: 02/09/2026
img

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman, tidak menolak kemungkinan seorang kenamaan akan menjadi individu pertama dihadapkan ke mahkamah susulan siasatan terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau berkata, individu itu akan didakwa selepas siasatan terbaharu SPRM dalam isu pajakan hartanah dalam pelaburan Al Rawda di Arab Saudi selesai.

"Ya, saya tidak menolak kemungkinan seorang VVIP akan didakwa dalam kes berkenaan... namun kita akan umumkan nanti," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Abd Halim berkata, siasatan terhadap pelaburan Al Rawda menjadi agenda siasatan terbaharu yang berjaya diselesaikan SPRM, setakat ini.

Beliau berkata, dua lagi kertas siasatan yang dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam tempoh terdekat ini adalah berkaitan kes TH Marine, TH Alam dan TH Alam Management dengan nilai pelaburan berjumlah RM334.2 juta.

"Kes kedua yang selesai adalah berkaitan dakwaan rasuah dalam pemilikan saham sebanyak 30 peratus oleh Lembaga TH dalam Syarikat Pembinaan Putrajaya Perdana Berhad," katanya.

Terdahulu, seorang bekas menteri ditahan reman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh SPRM terhadap pelaburan TH di Makkah dan Madinah


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel