KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mahu amanat tegas baginda supaya memerangi rasuah dilaksanakan tanpa kompromi di semua jabatan dan agensi kerajaan negeri.
Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda bertitah, integriti dan ketelusan pentadbiran adalah asas penting dalam memastikan kesejahteraan serta kemakmuran negeri terus terpelihara.
"Usaha memerangi rasuah perlu dilaksanakan tanpa kompromi di semua jabatan dan agensi kerajaan negeri. Ini kerana integriti dan ketelusan pentadbiran adalah asas penting dalam memastikan kesejahteraan serta kemakmuran negeri terus terpelihara," titah baginda ketika menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Datin Paduka Hazlina Jalil dan Pengarah Tanah dan Galian Johor, Mohammed Shakib Ali.
Pada pertemuan itu, Sultan Ibrahim juga dipersembahkan taklimat mengenai perkembangan semasa dan kemajuan pesat dicapai Johor oleh Onn Hafiz.
Sumber : Berita Harian Online