'UMS tidak terbabit dalam perhimpunan aman' - Naib Canselor

Tarikh: 30/12/2024
img

Kota Kinabalu: 'Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah', esok yang dirancang sekumpulan pelajar menamakan diri sebagai Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), tidak mewakili universiti itu atau mana-mana entitinya.


Menjelaskan perkara itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, kumpulan mahasiswa yang menganjurkan perhimpunan di hadapan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Menara Kinabalu itu perlu mematuhi undang-undang berkaitan.


"UMS ingin menjelaskan bahawa kumpulan mahasiswa yang akan menganjurkan 'Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah' pada 31 Disember 2024 di hadapan Menara Kinabalu adalah tidak mewakili UMS atau mana-mana entiti dalam UMS termasuk fakulti, akademi, pusat, institut serta warga universiti ini.


"UMS menasihatkan kumpulan mahasiswa yang menganjur perhimpunan itu supaya sentiasa mematuhi keperluan undang-undang berkaitan termasuk arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa demi kesejahteraan dan keselamatan mahasiswa serta ketenteraman awam," katanya menerusi satu kenyataan, di sini.


Kenyataan itu susulan laporan mengenai penganjuran perhimpunan berkenaan oleh sekumpulan pelajar UMS yang mahu meneruskannya meskipun bertembung dengan program lain di lokasi sama pada Selasa ini.


Berdasarkan kenyataan sekretariat perhimpunan itu sebelum ini, mereka antara lain menuntut ketelusan dan kecekapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangani skandal rasuah ahli-ahli politik Sabah.


Mereka juga menyatakan bantahan terhadap pelantikan Tun Musa Aman sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah atas dakwaan pernah terbabit dengan skandal rasuah.


Kumpulan berkenaan turut menggesa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meletakkan jawatan atas dakwaan kelemahan dalam mengurus negeri, termasuk skandal rasuah yang dikaitkan dengan ahli politik Sabah.


Sementara itu, Kasim berkata, UMS menyediakan landasan dan saluran untuk mahasiswa membincangkan isu-isu semasa secara ilmiah dengan mengutamakan fakta serta wacana yang rasional dan beretika.


"Sebarang idea dan cadangan ke arah kesejahteraan masyarakat perlulah disampaikan secara berhemah kerana mahasiswa adalah golongan terpelajar yang mampu menyumbang kepada keharmonian masyarakat melalui tindakan matang yang berpandukan etika, peraturan dan undang-undang," katanya.


Sumber: Harian Metro 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel