Tuduhan terima suapan RM1.097j: Sebutan semula kes 3 November, Saravanan harap prosiding dipercepat

Tarikh: 29/09/2026
img

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berharap pengurusan kes dakwaan beliau menerima suapan RM1.097 juta daripada seorang pengarah syarikat disegerakan.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata, pada prosiding sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, pihak pendakwaan sudah menyerahkan satu jilid dokumen kepada pihak pembelaan, namun masih memerlukan masa untuk menyediakan dua lagi dokumen berkaitan kes itu.

Beliau yang juga Timbalan Presiden MIC, berkata pendakwaan memohon tarikh baharu bagi melengkapkan penyerahan dokumen.

"Walaupun pihak pendakwa raya minta tarikh hujung November (untuk pengurusan kes), tapi kami nak awalkan. Peguam saya sudah mohon tarikh awal dan Yang Arif Hakim bersetuju menetapkan 3 November untuk sebutan semula," katanya.

Saravanan yang ditemui pemberita selepas prosiding, berkata beliau tidak mempunyai alasan bagi melengahkan prosiding kerana pihak pembelaan sudah bersedia meneruskan kes berkenaan.

"Peguam saya bangkitkan, ini bukan kes baharu, ini kes 2022. Sepatutnya semua dokumen sudah ada sebelum mengambil tindakan terhadap seorang bekas menteri, tapi saya masih beri ruang kepada pihak pendakwa raya apabila mereka minta masa.

"Saya harap selepas ini tidak ada lagi kelewatan. Pada 3 November, saya harap pihak pendakwa raya akan serahkan semua dokumen berkaitan," katanya.

Pada 28 Ogos lalu, Saravanan, 58, didakwa menerima suapan RM1.097 juta daripada pengarah sebuah syarikat sebagai dorongan membantu syarikat itu mendapatkan projek daripada Kementerian Sumber Manusia.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Ahli Parlimen Tapah itu didakwa menerima suapan, masing-masing RM150,000, RM350,000 dan RM597,000 daripada Pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Allahyarham Syed Amirul Syed Ahmad, 38.

Daripada jumlah itu, RM597,000 diterima melalui sekeping cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan dan upah kepada tertuduh untuk memberikan kelulusan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi syarikat TYKB Engineering Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kelab golf di Bukit Jalil; Jalan Telawi 3, Bangsar dan sebuah bank di Cawangan Jalan Klang Lama, Taman Desa, di sini pada 16 Jun dan 7 Julai 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib, Julaila Jamaludin dan P Rubini, manakala Saravanan diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent, Lavinia Raja dan Jeremiah Anand.

Pendengaran kes di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 3 November ini.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel