Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 Malaysia yang diumumkan Transparency International (TI) baru-baru ini menarik perhatian seluruh negara. Walaupun skor dicatatkan bukan yang terbaik dalam sejarah negara jika dibandingkan dengan pencapaian tahun 2019, namun trend bagi CPI 2025 menunjukkan isyarat pemulihan positif.
Peningkatan skor CPI 2025 pada kedudukan 54 dengan skor 52 bukan satu kebetulan, sebaliknya manifestasi komitmen berterusan semua pihak, terutamanya didorong keazaman politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sokongan padu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Keazaman politik ini diterjemahkan melalui tindakan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa memilih bulu terhadap kes berprofil tinggi, sekali gus membuktikan kerajaan tidak lagi berkompromi dalam isu integriti.
Namun, peningkatan kecil ini tidak seharusnya menjadikan kita alpa atau cepat berpuas hati. Harus diingat sasaran besar Malaysia adalah untuk berada dalam kelompok 25 negara terbaik global menjelang 2033. Berbaki kurang lapan tahun lagi, momentum sedia ada perlu digandakan.
Malaysia bukan sahaja perlu mengekalkan ketegasan sedia ada, malah harus mempercepatkan reformasi institusi secara menyeluruh. Hanya dengan meletakkan integriti sebagai teras pembangunan, sasaran 'Top 25' dapat direalisasikan dan menjamin kemakmuran jangka panjang Malaysia.
Umumnya, CPI mencerminkan persepsi pelabur, penganalisis dan komuniti perniagaan global terhadap integriti sektor awam sesebuah negara. Dalam dunia ekonomi saling berkait, persepsi ini mempunyai kesan langsung terhadap aliran pelaburan, kos pembiayaan perniagaan, kestabilan institusi dan reputasi negara.
Kepercayaan dunia terhadap kepemimpinan dan tadbir urus negara menyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit dan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan.
Hubungan antara integriti dan ekonomi ini tidak hanya terhenti di peringkat makro, malah impaknya meresap terus ke akar umbi bagi menjamin keadilan sosial. Apabila ketirisan akibat rasuah dikurangkan, kerajaan mempunyai ruang fiskal lebih luas untuk memastikan Indeks Harga Pengguna (IHP) kekal stabil, sekali gus mengawal kos sara hidup rakyat.
Pembersihan sistemik daripada rasuah adalah pemacu utama mengukuhkan fundamental ekonomi negara. Dengan mengekalkan momentum integriti dan akauntabiliti ini, Malaysia sedang membina reputasi sebagai negara bersih serta menyediakan platform ekonomi inklusif iaitu setiap sen dana awam digunakan sepenuhnya untuk kemajuan nasional.
Pelajaran utama daripada laporan CPI 2025 memperlihatkan keberanian untuk membanteras rasuah berskala besar adalah kunci utama memulihkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap ekosistem tadbir urus negara.
Rasuah jejas struktur ekonomi negara
Rasuah berskala besar membawa kemusnahan dahsyat kerana merosakkan struktur ekonomi serta kredibiliti institusi negara. Apabila kontrak mega dimanipulasi melalui sogokan, kos projek akan melambung tinggi melebihi nilai pasaran sebenar.
Oleh itu, tumpuan SPRM memerangi kes profil tinggi adalah langkah strategik tidak boleh ditangguhkan lagi. Kegagalan menangani rasuah skala besar bukan sahaja menyebabkan ketidakadilan sosial, tetapi menghantar mesej salah kepada dunia undang-undang di Malaysia bersifat berpilih.
Namun, tindakan terhadap rasuah berskala besar mesti berpaksikan prinsip tanpa pilih kasih, ideologi parti, jawatan mahupun kedudukan individu. Proses pendakwaan dan perbicaraan perlu bersifat telus serta profesional untuk diyakini rakyat.
Apabila rakyat melihat 'golongan kayangan' mahupun elit politik tunduk kepada kedaulatan undang-undang, kepercayaan terhadap sistem akan kembali pulih. Kesedaran kolektif ini akan membentuk budaya integriti dijulang tinggi dan kedudukan seseorang tidak lagi dilihat sebagai lesen menyalahgunakan dana rakyat.
Bagaimanapun, lonjakan kes rasuah kebelakangan ini bukan petunjuk kemerosotan moral negara, sebaliknya petunjuk sistem pemantauan dan penguatkuasaan kini berfungsi dengan lebih agresif.
Ditambah pula dengan ketegasan Perdana Menteri meniup semboyan amaran kepada pemimpin dan ketua jabatan supaya segera bertindak memutihkan kementerian, agensi dan jabatan masing-masing dalam tempoh tujuh hari, baru-baru ini.
CPI 2025 memberikan isyarat jelas Malaysia kini berada di landasan pemulihan meyakinkan. Namun, untuk melonjak ke tahap negara berintegriti tinggi dalam kelompok 25 terbaik dunia, kita mesti melakukan transformasi sistemik seperti digagaskan Perdana Menteri.
Fokus utama kini mesti dialihkan kepada reformasi struktur lebih mendalam, terutama yang menyokong pembanterasan rasuah skala besar secara sistemik.
Langkah paling kritikal ialah melaksanakan ketelusan penuh dalam perolehan kerajaan bagi memastikan setiap kontrak mega tidak lagi menjadi lubuk agihan kroni, selain mempercepatkan reformasi pembiayaan politik untuk memutuskan rantaian antara dana kempen dan pengaruh korporat sering menjadi punca utama penyelewengan serta salah guna kuasa.
Pembudayaan integriti dalam sektor awam perlu lebih agresif melalui pengawasan lebih ketat terhadap pemilikan harta. Pelaksanaan pengisytiharan aset pegawai awam secara lebih sistematik dan digital bukan sahaja memudahkan pemantauan, malah menjadi benteng pencegahan awal terhadap gaya hidup mewah yang tidak setimpal dengan pendapatan rasmi.
Apabila instrumen pengawasan ini digabungkan dengan ketegasan undang-undang, Malaysia bukan sahaja akan berjaya memulihkan reputasi antarabangsanya, malah melahirkan ekosistem pentadbiran kalis rasuah.
Perlu ditegaskan bahawa membanteras rasuah berskala besar bukan agenda politik semata-mata, sebaliknya agenda nasional menentukan masa depan ekonomi, kestabilan sosial dan maruah negara di persada global.
Untuk memulihkan reputasi dan membina negara berintegriti tinggi memerlukan tindakan konsisten, adil, tegas dan berani. Jika Malaysia benar-benar mahu melonjak ke kedudukan 25 global, maka usaha membanteras rasuah berskala besar mesti menjadi keutamaan berterusan, bukan bersifat bermusim.
Penulis adalah Pensyarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
-Berita Harian Online