Timbalan Ketua Menteri I P Pinang tiba di pejabat SPRM isu dana zakat

Tarikh: 02/03/2026
img

GEORGETOWN: Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pagi ini.

Proton X70 yang dinaiki Mohamad dilihat memasuki kawasan pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah sekitar jam 9.40 pagi. Beliau turut dilihat memasuki bangunan itu bersama seorang pembantu.

Difahamkan kehadiran beliau di sana adalah berkaitan dengan siasatan mengenai tuduhan penyalahgunaan dana zakat yang dikaitkan dengannya.

Siasatan itu dimulakan selepas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri membangkitkan isu tersebut di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada penghujung tahun lalu.

Akhir bulan lalu, SPRM telah memperoleh dokumen berkaitan untuk dikaji dan disiasat.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy, berkata siasatan itu bertujuan memastikan kebenaran perkara tersebut serta menilai sama ada terdapat unsur salah laku atau isu berkaitan tadbir urus.

Mohamad sebelum ini memberitahu New Straits Times bahawa tuduhan terhadapnya berhubung siasatan penyalahgunaan dana zakat hanyalah bermotifkan politik. Beliau berkata beliau bersedia untuk memberi kerjasama dalam siasatan.

Malah, Ketua Menteri Chow Kon Yeow telah menolak gesaan supaya timbalannya meletakkan jawatan susulan siasatan berkenaan.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel