PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu membabitkan pengarah syarikat kerana disyaki terbabit menerima rasuah kira-kira RM15 juta bagi mendapatkan projek pembinaan pangkalan di Pahang.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 40 hingga 50 tahun itu ditahan kira-kira jam 8.30 malam tadi, selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini.
Lelaki pertama dipercayai pengarah syarikat yang melobi projek pembinaan berkenaan manakala dua lagi pengarah syarikat disyaki meminta dan menerima rasuah yang kononnya untuk diserahkan kepada seorang bekas menteri.
Perintah reman tiga hari bermula hari ini hingga 17 Februari ini dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin susulan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Sumber : Berita Harian