Tiga hakim bebaskan syarikat sawit dalam kes rasuah, ditahan
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menahan tiga orang hakim yang membebaskan tiga syarikat sawit daripada pertuduhan rasuah berkaitan kelulusan permit eksport, kata seorang pegawai hari ini, susulan penahanan ketua hakim mahkamah daerah berhubung kes rasuah sama.
Mahkamah bulan lalu membebaskan tiga syarikat — Wilmar Group, Musim Mas Group dan Permata Hijau Group yang berpangkalan di Sumatera Utara — daripada dakwaan salah laku dalam mendapatkan permit eksport pada 2022.
Ketiga-tiga hakim yang membuat keputusan terbabit ditahan pada malam tadi, kata jurucakap Pejabat Peguam Negara, Harli Siregar, menerusi pesanan teks kepada REUTERS, semalam.
Sabtu lalu, pendakwa menahan Ketua Hakim Mahkamah Daerah Jakarta Selatan, Muhammad Arif Nuryanta kerana didakwa menerima bayaran sebanyak 60 bilion rupiah (RM15.7 juta) daripada dua peguam syarikat terbabit bagi mengatur keputusan yang memihak kepada mereka
Siregar dalam satu kenyataan, berkata, sebanyak AS$1.07 juta (RM4.7 juta) lagi didakwa dibayar kepada tiga hakim berkenaan.
"Rasuah itu diberikan supaya hakim memutuskan bahawa tiada kesalahan jenayah berlaku," katanya sambil memaklumkan bahawa seorang kerani mahkamah dan dua peguam turut ditahan.
Bagaimanapun, ketiga-tiga hakim atau peguam mereka tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen berhubung berita itu.
Siregar berkata Pejabat Peguam Negara sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah pada Mac yang membebaskan syarikat berkenaan.
Wilmar Group, Musim Mas Group dan Permata Hijau Group belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk komen berhubung perkara ini
Nuryanta adalah Timbalan Ketua Mahkamah ketika keputusan itu diumumkan.
Beliau tidak mendengar kes berkenaan secara langsung.
Indonesia, yang menyumbang kira-kira 60 peratus bekalan minyak sawit global, mengenakan sekatan eksport yang ketat pada 2022, termasuk larangan eksport selama tiga minggu, dalam usaha mengekang kenaikan harga minyak masak tempatan.