KUALA LUMPUR: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap 'mafia korporat' membabitkan ahli perniagaan, Victor Chin Boon Loong, mendapati tiada pembabitan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Siasatan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman sejak Oktober lalu memanggil 41 individu untuk memberi keterangan namun tiada pegawai SPRM atau kepimpinan kanan yang dipanggil.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Pasukan AMLA PDRM, Datuk Fazlisyam Abdul Majid, yang berkata tiada pegawai SPRM dipanggil untuk memberi keterangan dalam siasatan itu.
Beliau enggan mengulas lanjut perkara itu kerana siasatan masih berlangsung.
Sementara itu, Victor Chin dipercayai meninggalkan negara selepas beberapa hari dibebaskan oleh PDRM, Disember lalu.
BH dimaklumkan, Victor Chin hanya direman untuk diambil keterangan selama tiga hari, sebelum beliau dibebaskan.
Kesempatan itu kemudiannya diambil ahli perniagaan itu untuk ke luar negara walaupun siasatan kes pengubahan wang haram itu masih dijalankan pihak berkuasa.
Pasport Victor Chin tidak ditahan
BH turut mendapat maklumat, selepas penahanan reman berkenaan, tiada penahanan pasport untuk menahan beliau ke luar negara dilakukan.
Ketiadaan langkah pencegahan itu menyebabkan Victor Chin bebas ke luar negara, sekali gus tidak pulang untuk membantu siasatan lanjut dalam kes berkenaan.
Kelmarin, Fazlisyam mengesahkan Victor Chin bebas dengan jaminan polis selepas ditahan bersama sembilan yang lain kerana disyaki terbabit pengubahan wang haram.
Mereka ditahan melalui Ops Viking yang dijalankan polis antara 15 Oktober 2025 hingga 13 Januari tahun ini.
Mengulas mengenai Victor Chin, katanya, ahli perniagaan itu ditahan pada Disember tahun lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Awal bulan ini dilaporkan jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai termasuk mata wang asing, serta dua kereta disita dalam serbuan di beberapa premis yang dikaitkan dengan Chin.
Serbuan itu sebahagian daripada siasatan berterusan berhubung kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan ahli perniagaan itu.
Polis turut melancarkan siasatan terhadap dakwaan kewujudan 'mafia korporat' dikaitkan dengan Victor Chin, dengan beberapa premis diserbu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengesahkan pihak berkuasa memandang serius dakwaan mengenai 'mafia korporat itu dan tindakan penguatkuasaan sedang dijalankan.
Sumber : Berita Harian Online