Tiada dapatan Jho Low wakili Najib - peguam

Tarikh: 03/09/2024
img

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Mahkamah Switzerland tidak membuat dapatan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, pernah mewakili Datuk Seri Najib Razak.

Peguam bela bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland pada 28 Ogos lalu, tidak pernah menyebut mengenai pembabitan Najib (atau Jho Low bertindak mewakili Najib) dalam keputusan terhadap dua pegawai eksekutif di syarikat cari gali minyak, PetroSaudi International Ltd (PSI).

Dalam penghakiman itu, kedua-dua eksekutif terbabit, iaitu warga Switzerland-British, Patrick Mahony, dihukum penjara enam tahun manakala warga Switzerland-Arab Saudi, Tarek Obaid, dipenjara tujuh tahun.

Mereka didapati bersalah menyeleweng lebih AS$1.8 bilion (RM7.8 bilion) dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berdasarkan kertas pendakwaan, kedua-dua eksekutif itu dituduh menipu dana kekayaan 1MDB sebanyak AS$1.8 bilion dengan tujuan memperkayakan diri mereka.

Pada prosiding hujahan akhir kes pendakwaan membabitkan tuduhan penyelewengan dana 1MDB dihadapi Najib di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini, Muhammad Shafee berkata, Mahkamah Switzerland mendapati Tareq dan Mahony memperdaya 1MDB dan ahli lembaga pengarahnya (BOD).

Peguam veteran itu berkata, adalah penting untuk dinyatakan keputusan mahkamah Switzerland menolak pembelaan kedua-dua tertuduh terbabit bahawa Jho Low adalah wakil kepada Najib.

"Ada keterangan dan bukti yang menolak sebarang tanggapan bahawa Najib memberikan kebenaran kepada Jho Low berkaitan perjanjian usaha sama antara 1MDB dan PSI.

"Bukti itu dikemukakan di mahkamah ini melalui prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

"Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang menjawab soalan PAC, menafikan Jho Low hadir mesyuarat di 1MDB sekitar 2009 sebagai wakil Najib, sebaliknya mewakili Putera Turki.

"Jho Low hadir mewakili PSI, bukannya Najib. Najib tidak boleh diwakili oleh Jho Low kerana beliau diwakili oleh Lembaga Pengarah (1MDB)," katanya.

Menurut kes pendakwaan, Najib melalui kata-kata dan tindakannya memberi arahan jelas kepada pegawai 1MDB, Lembaga Pengarah dan lain-lain bahawa Jho Low adalah 'alter ego' sebenarnya dan Jho Low bayangan tertuduh.

Pendakwaan melalui pernyataan pembukaan pada 28 Ogos 2019, berkata ia memberikan fakta membawa kepada inferen yang tidak boleh ditolak bahawa Jho Low dan tertuduh bertindak sebagai 'satu'.

Menurut pendakwaan, jika Najib diletakkan di hadapan cermin, akan terlihat Jho Low dan begitu juga sebaliknya.

Selanjutnya, pendakwaan berkata, kes dihadapi Najib membabitkan wang 1MDB yang asalnya dikenali sebagai TIA dan Najib berperanan penting dalam menukar namanya kepada 1MDB.

Sementara itu, peguam bela Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, dalam hujahnya berkata 'calon terbaik' untuk didakwa dalam skandal kewangan 1MDB adalah Shahrol Azral, mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Wan Azwan Aiman berkata, ia berdasarkan tindakan bekas CEO 1MDB itu memenuhi kriteria sebagai penjawat awam dan menyalahgunakan kedudukannya hingga menyebabkan AS$700 juta dipindah ke Good Star Limited bagi membolehkan Jho Low mendapat faedah daripada perbuatannya itu.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, sejumlah AS$700 juta wang 1MDB dipindahkan ke Akaun Good Star milik Jho Low pada 2009 dan transaksi kedua AS$330 dipindahkan pada 2011.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, dalam keterangan tahun lalu, berkata selepas enam tahun, pihak berkuasa mengetahui dana AS$700 juta milik 1MDB yang sepatutnya dibayar bagi projek usaha sama, dipindahkan kepada entiti yang salah.

Pemindahan dana berkenaan yang keseluruhannya berjumlah AS$1 bilion didakwa 1MDB bagi pemerolehan 40 peratus saham dalam projek usaha sama (JV) dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Pemindahan itu dibuat dalam dua peringkat di mana pembayaran AS$700 juta sebaliknya dimasukkan ke dalam syarikat dimiliki sepenuhnya oleh Jho Low pada 2009 iaitu Good Star Limited.

Sejumlah AS$300 juta dipindahkan kepada syarikat usaha sama (JV).

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Prosiding bersambung 10 September ini.


Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel