'Tertuduh tak boleh didakwa semula kes sama selepas bayar'

Tarikh: 10/06/2026
img

KUALA LUMPUR: Tawaran kompaun kepada tertuduh yang berdepan pendakwaan kes rasuah dibuat mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menjelaskan sebarang tawaran kompaun terbabit hanya dibuat selepas mengambil kira latar belakang kes sepenuhnya serta menilai representasi dibuat peguam tertuduh.

-Advertisement-

Beliau berkata, dalam isu membabitkan seorang individu terbabit rasuah didakwa pada Mei lalu dengan pertuduhan utama mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

"Pada 7 Mei 2026, tertuduh ditawarkan kompaun oleh SPRM mengikut Seksyen 92(1) AMLAFTPUAA 2001 sebelum dia selesai membayar kompaun berkenaan pada 12 Mei 2026.

"Selepas tertuduh selesai membayar kompaun ditawar, mengikut Seksyen 92(4) AMLATFPUAA tertuduh tidak boleh dituduh semula atas perkara sama.

"Dengan itu, pertuduhan utama mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan telah dimohon ditarik balik. Berikutan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan," katanya kepada BH, semalam.

Seksyen 92(1) AMLATFPUAA 2001 memberi kuasa kepada agensi penguat kuasa atau pihak berkuasa berkaitan dengan izin pendakwa raya menawarkan kompaun kepada mana-mana individu atau entiti bagi menyelesaikan kes tanpa melalui prosiding mahkamah yang panjang.

Kadar kompaun ditawarkan adalah tidak melebihi 50 peratus daripada amaun denda maksimum yang boleh dikenakan terhadap sabitan kes berkenaan, termasuk denda harian jika ada.

Tiada pendakwaan

Seksyen 92(4) pula menyebut jika sesuatu kesalahan dikompaun mengikut subseksyen (1), tiada pendakwaan boleh dimulakan berkenaan kesalahan sama terhadap orang yang telah ditawarkan dan membayar kompaun.

Mohd Dusuki membuat penjelasan itu sebagai mengulas desakan pihak tertentu meluahkan kebimbangan mengenai beberapa tertuduh yang berdepan pendakwaan kes rasuah, dilepas dan dibebaskan selepas membayar kompaun atas kesalahan yang dipertuduhkan kepada mereka.

Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, daripada 12 pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram berkait projek Jana Wibawa yang dihadapinya selepas dia membayar kompaun sebanyak RM4.1 juta.

Bulan lalu, bekas ketua unit komunikasi korporat sebuah kementerian dilepas dan dibebaskan pertuduhan memperoleh suapan RM5,268 kira-kira tiga tahun lalu selepas membayar kompaun ditawarkan SPRM.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membuat keputusan itu selepas Pegawai Pendakwa SPRM, A Selvam memaklumkan bahawa Nur Fazreen Mohamad Kamal, 45, sudah membayar kompaun susulan representasi dikemukakan peguamnya kepada pihak pendakwaan.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel