BUTTERWORTH: Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM500 daripada seorang pemilik syarikat enam tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Fadzil Abdullah, 48, yang berpangkat Bintara Muda Maritim Gred T6 mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada enam anak itu didakwa menerima wang berjumlah RM500 daripada seorang pemilik perniagaan berusia 38 tahun yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank di Jelutong, Daerah Timur Laut pada 17 April 2017.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam SP Raman.
Raman dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan hukuman minimum susulan anak guamnya berisiko kehilangan jawatan selain menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Afiqa Liyana bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan supaya ia dapat dijadikan pengajaran dan amaran kepada bakal pesalah.
Sumber : Utusan Malaysia