KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat di Selangor ditahan kerana dipercayai bertanggungjawab menyerahkan tanah seluas lebih 3.2 hektar milik 136 pekerja ladang tanpa kebenaran pemiliknya kepada sebuah syarikat pemaju di negeri itu.
Difahamkan, perbuatan itu dilakukan suspek berusia lingkungan 60-an yang juga pemegang amanah ke atas tahan terbabit antara 2020 hingga 2025.
Menurut sumber, lelaki warga emas itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada jam 12.30 tengah hari tadi kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000 daripada sebuah syarikat pemaju hartanah sebagai balasan untuk perbuatan sama.
Namun semakan lanjut mendapati suspek sudah menerima sekurang-kurangnya RM5 juta hasil pengambilan tanah milik pekerja ladang itu oleh syarikat berkenaan dengan sumber memaklumkan tanah terbabit ditukar bagi tujuan pembangunan komersial.
"Suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor dan siasatan awal mendapati suspek menyerahkan tanah milik 136 pekerja ladang tanpa pengetahuan dan kebenaran pekerja-pekerja tersebut sejak 2020.
"Suspek juga adalah pemegang amanah ke atas tanah seluas lapan ekar (lebih3.2 hektar) itu dan dipercayai sudah menerima wang rasuah beberapa kali dalam tempoh lima tahun serta turut menerima wang kira-kira RM5 juta hasil pengambilan tanah itu," kata sumber hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok bagi permohonan reman," katanya.
Sumber : Berita Harian Online