Jenayah terancang counter setting ditumpaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beberapa minggu kebelakangan ini bukan sesuatu yang baharu.
Malah, ia juga tidak mengejutkan kerana jenayah ini dilihat seperti 'makanan ruji' SPRM saban tahun walaupun pelbagai tindakan diambil, masih ramai penguat kuasa sepatutnya menjaga kedaulatan negara tetap curang dalam integriti mereka.
Biarpun penguat kuasa sempadan dari Jabatan Imigresen sudah beralih tangan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), kumpulan pegawai tidak beramanah ini masih tidak gentar bersekongkol dengan sindiket penyeludupan manusia.
Mereka tidak takut mengubah budaya kerja ke arah lebih berintegriti kerana mereka tahu kemampuan memanipulasi sistem sedia ada, malah mampu mengadakan atau menyahaktif rekod sistem di kaunter pemeriksaan.
Lebih menakutkan, pegawai tidak beramanah ini bukan seorang dua di jabatan penting negara itu, sebaliknya bergerak secara kumpulan hanya untuk memastikan koordinasi membawa masuk warga asing secara haram ini berjalan lancar.
Sekiranya bergerak secara in silo, matlamat untuk memperoleh habuan rasuah tidak akan tercapai dan disebabkan itu, penjawat awam pelbagai jawatan perlu direkrut untuk memastikan kegiatan counter setting terus hidup dan berkembang.
Disebabkan itulah kegiatan rasuah dalam jabatan penguatkuasaan ini masih berdiri teguh walaupun pelbagai tindakan dilakukan SPRM atau Imigresen sendiri, kerana ia sudah menjadi 'sistem sosial' terlalu kukuh untuk diruntuhkan.
Sekiranya ada kalangan mereka 'kantoi', kemudian ditangkap SPRM, tempat itu akan diganti orang baharu yang memainkan peranan serupa dengan modus operandi berbeza.
Pegawai baharu ditempatkan di kawasan sensitif akan direkrut dengan habuan terlalu lumayan untuk ditolak. Mereka bukan sahaja rambang mata, tetapi gelap mata, mata duitan yang akan menyebabkan hilang pertimbangan sehingga sanggup memperjudikan nasib diri dan keluarga sendiri.
Sindiket mengatur counter setting ini khususnya dalang penyeludupan manusia bukan dalam kalangan 'kontraktor' yang bertaraf 'biasa-biasa', sebaliknya mempunyai kekuatan kewangan terlalu besar sehingga sangat mudah membeli penjawat awam dari Gred KP19 sehingga ke pangkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA).
Oleh demikian, sekukuh mana pun iman manusia, apabila diuji dengan wang dan harta benda, pendirian pastinya akan tetap goyah dan harga diri pastinya longlai.
Keluarga jadi proksi rasuah
Dalam kes terbaharu dikendali SPRM, masyarakat disajikan dengan betapa rakusnya pegawai Imigresen kerana mereka ini bukan sahaja mampu memperoleh pendapatan tambahan lumayan, malah berjaya mengumpul aset mewah dengan mewujudkan perniagaan baharu untuk menjana keuntungan lebih besar.
Ada pegawai Imigresen disabitkan itu didakwa mempunyai kedai emas dengan simpanan emas mencecah RM1.4 juta. Malah, ada di antara mereka mempunyai simpanan di dalam akaun deposit tetap seperti Tabung Haji (TH) dan Amanah Saham Berhad mencecah RM1.5 juta.
Jumlah ini terlalu lumayan dan tidak terjangkau dek akal kerana penjawat awam ini dikatakan tidak berada dalam kelompok pegawai berjawatan tinggi, sebaliknya berada di barisan hadapan untuk berurusan dengan kelompok pekerja asing.
Maka, jika pegawai gred KP22 mempunyai simpanan jutaan ringgit sebelum bersara atau dalam tempoh berkhidmat, ia amat meragukan, melainkan mereka menabung secara disiplin sejak di awal usia.
Apa pun situasi yang berlaku, perlu diberi perhatian bahawa skala rasuah di kalangan penjawat awam ini dilihat melalui transformasi ketara kerana ia sudah membabitkan ahli keluarga perasuah.
Ahli keluarga seperti anak dan isteri dikesan menjadi mangsa terbaharu perasuah apabila mereka dijadikan 'peti deposit' untuk menyimpan segala habuan dan dana haram diterima.
Contohnya, dalam serbuan di sebuah kedai emas di Pahang baru-baru ini, adik ipar kepada seorang pegawai Imigresen dijadikan proksi menguruskan gedung rasuah itu.
Begitu juga anak yang tidak mengetahui hujung pangkal perbuatan ayah atau ibunya, dijadikan proksi untuk mewujudkan akaun saham amanah atas nama mereka, kononnya sebagai simpanan masa hadapan. Realitinya, akaun berkenaan hanya lokasi untuk 'menghalalkan' dana rasuah itu.
Perbuatan ini amat menjijikkan kerana mereka bukan sahaja tidak mengenal erti halal dan haram, malah sanggup menyumbat makanan dibeli dengan wang haram ke dalam perut anak isteri mereka sendiri. Inilah dikatakan 'gelap mata', apabila harta dan nafsu menguasai pertimbangan manusia.
Justeru, apa tindakan yang boleh dilakukan terhadap penguat kuasa curang ini? Adakah dengan kaedah pusingan kerja yang sering dimomokkan kepada masyarakat mampu menangani sepenuhnya gejala rasuah di pintu masuk negara?
Mungkinkah pengukuhan sistem digital atau automasi canggih dicadangkan sebelum adanya teknologi kecerdasan buatan (AI) digembar-gemburkan akan kembali?
Hari ini juga, lebih 5,000 pegawai penguat kuasa, termasuk dari Jabatan Imigresen, sudah diambil alih AKPS, tetapi sejauh mana keberkesanan agensi ini untuk mengawal pegawainya masih lagi menjadi tanda tanya, memandangkan sistem yang ada dan mereka yang mengawal pintu masuk negara masih lagi mempunyai 'orang dalam'.
Sumber:Berita Harian Online