RASUAH sering dilihat dari sudut kesalahan dilakukan individu. Apabila berlaku penyelewengan, persoalan lazim ditanya, siapa melakukannya, berapa jumlah kerugian dan apakah tindakan boleh diambil.
Namun, satu persoalan lebih besar perlu diberikan perhatian ialah mengapa dan bagaimana kelemahan sistem membolehkannya berlaku? Inilah menjadi antara fokus utama Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Membanteras rasuah tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata. Kita perlu memastikan sistem menjadi asas organisasi cukup kukuh untuk menutup ruang dan peluang rasuah.
Perbezaan utama antara penyiasatan jenayah dengan penyiasatan tatakelola terletak pada fokus bahagian siasatan lazimnya menumpukan kesalahan, individu, bukti dan elemen diperlukan untuk tindakan undang-undang. BPT pula melihat sesuatu isu daripada perspektif sistem.
Berdasarkan Seksyen 7 Akta SPRM 2009, SPRM bukan hanya menerima aduan, mengesan dan menyiasat kesalahan, tetapi merangkumi pemeriksaan sistem serta memberi nasihat langkah boleh diambil bagi menghapuskan ruang dan peluang rasuah.
Justeru, apabila BPT menerima aduan atau isu, persoalan pertama bukan semata-mata siapa bersalah, tetapi apakah kelemahan dalam sistem membolehkan ia berlaku. Jika terdapat kelemahan, kita mencari jalan memperbaikinya.
Dalam sesetengah keadaan, rasuah bukan hanya berpunca daripada sikap individu, tetapi kelemahan prosedur, kawalan dalaman tidak mencukupi, pemusatan kuasa, peraturan lapuk atau penguatkuasaan lemah hingga mewujudkan peluang disalahgunakan.
Ramai mungkin melihat tatakelola sebagai kompleks dan hanya berkaitan dokumen, pekeliling atau prosedur organisasi. Hakikatnya, tatakelola bermula daripada perkara paling asas.
Organisasi mempunyai tatakelola baik lazimnya mempunyai peraturan jelas, bidang kuasa tidak bertindih, proses semak dan imbang, kawalan dalaman berfungsi serta penguatkuasaan konsisten.
Antara kelemahan sering dikenal pasti adalah peraturan tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa, ketiadaan peraturan jelas, pemusatan kuasa terlalu besar dan penguatkuasaan lemah.
Risiko ini tidak semestinya terhad kepada sektor awam atau swasta sahaja. Mana-mana organisasi boleh terdedah sekiranya kawalan dan sistem diwujudkan tidak sepadan tahap risiko operasi masing-masing.
Sebab itu, persoalan lebih penting bukan organisasi awam atau swasta lebih berisiko, tetapi sejauh mana organisasi mengenal pasti, mengurus dan mengawal risikonya. Organisasi besar, kompleks dan mempunyai nilai transaksi tinggi mungkin berdepan risiko berbeza berbanding organisasi kecil.
Namun, prinsipnya sama, iaitu kuasa perlu dikawal, proses perlu telus dan keputusan mempunyai mekanisme semak dan imbang. Dalam melaksanakan penyiasatan tatakelola, BPT tidak lagi bertindak pasif dengan hanya menerima rujukan bahagian siasatan.
BPT mengambil tindakan proaktif terhadap isu dikenal pasti melalui inisiatif sendiri, kepentingan awam atau perkara mendapat perhatian masyarakat dan dilaporkan media.
Prosesnya bermula memahami isu, mengenal pasti proses kerja berkaitan dan menganalisis sistem bagi menentukan, sama ada terdapat kelemahan membuka ruang kepada salah laku.
Antara diberi perhatian, termasuk struktur kuasa, prosedur, kawalan dalaman, mekanisme kelulusan, tahap pemantauan serta risiko wujud dalam sesuatu proses.
SPRM dapatkan pandangan pakar
Jika memerlukan kepakaran khusus, SPRM boleh mendapatkan pandangan pakar, sekali gus menjadikan penyiasatan tatakelola bukan sekadar mencari kesalahan, tetapi penyelesaian.
Perlu difahami khidmat nasihat tatakelola bukan hukuman atau proses pendakwaan. Bagi pihak tertentu, khususnya organisasi swasta dan badan awam, cadangan itu berbentuk nasihat penambahbaikan dan tidak mempunyai penalti seperti proses penguatkuasaan.
Bagi organisasi kerajaan tidak melaksanakan cadangan, BPT akan mengadakan perbincangan semula untuk memahami alasan dan kekangan dihadapi.
Jika selepas melalui proses berkenaan masih tiada kesediaan melaksanakan penambahbaikan, ia boleh dibawa ke Jawatankuasa Tatakelola Nasional (JTN).
Cabaran tatakelola juga semakin kompleks. Era pendigitalan, automasi dan kecerdasan buatan (AI) bermanfaat kepada organisasi, tetapi turut mewujudkan risiko baharu.
Sistem tatakelola tidak boleh bergerak dengan cara lama sedangkan teknologi dan kaedah operasi berubah begitu pantas. Jika teknologi sudah mendahului sistem kawalan, organisasi berisiko berdepan jurang tatakelola boleh dieksploitasi.
Peraturan dan kawalan perlu sentiasa dinilai serta dikemas kini berdasarkan risiko semasa dan risiko dijangka muncul pada masa hadapan. Dalam konteks ini, perbezaan antara audit dan tatakelola amat penting. Audit lazimnya melihat apa sudah berlaku. Tatakelola pula perlu melihat apa mungkin berlaku. Kita perlu bersedia sebelum risiko menjadi kenyataan.
BPT turut berperanan sebagai tenaga pakar dalam Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) bagi membantu organisasi mengenal pasti kelemahan dan punca berpotensi membawa kepada rasuah.
Selain CRM, BPT juga menjadi tenaga pakar bagi pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), iaitu dokumen dasar antirasuah pada peringkat organisasi yang menjadi sebahagian pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS).
Kejayaan penambahbaikan tatakelola juga tidak seharusnya terhenti dalam sesebuah organisasi. Amalan terbaik perlu dikongsi supaya boleh dicontohi dan disesuaikan organisasi lain.
Antara contoh pernah menerima khidmat nasihat BPT termasuk penambahbaikan pengurusan tabung masjid, pengurusan hasil kutipan Sabah, pengurusan pelepasan kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor serta pengurusan tanah di Pejabat Tanah Daerah Ulu Kinta, Perak.
Tatakelola kukuh tidak akan bermakna tanpa integriti manusia mengendalikannya. Setiap individu perlu memahami integriti bukan hanya bermaksud tidak menerima rasuah tetapi berani menolak konflik kepentingan, mematuhi prosedur, menggunakan kuasa secara amanah dan bertanggungjawab serta berani menyuarakan kelemahan dalam sistem.
Penulis ialah Pengarah Bahagian
Penyiasatan Tatakelola (BPT), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Berita harian Online