PUTRAJAYA: Syarikat berlesen yang disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan bahan api khususnya diesel di Sabah dan Sarawak perlu disenarai hitam daripada terus beroperasi.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata dalam Ops Karen yang diadakan sejak awal bulan ini, semua syarikat yang diserbu Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) adalah pihak diberi lesen pengedaran bahan api oleh syarikat-syarikat cari gali yang beroperasi di negara ini.
Sehubungan demikian, beliau berkata, tindakan tegas perlu dilakukan kerajaan supaya isu penyelewengan diesel ini dibanteras habis-habisan.
"Semua yang menyeludup diesel ini adalah mereka yang diberikan lesen dan menggunakan lesen itu untuk menutup aktiviti penyelewengan. Jika tiada lesen mereka ini adalah 'real smuggler'.
"Justeru tindakan dilakukan bukan sekadar penguatkuasaan tetapi penyiasatan SPRM termasuk mengikut Akta Penggubahan Wang Haram. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga boleh melihat kepada isu cukai iaitu berapa jumlah cukai yang dilarikan dalam aktiviti penyeludupan ini.
"Selain itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) boleh melihat kepada isu penyelewengan minyak subsidi dengan menyenarai hitamkan mana-mana syarikat yang diberikan lesen," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azam yang juga Timbalan Pengerusi MATF turut mengesahkan kegiatan penyeludupan bahan api di Sabah dan Sarawak dilindungi oleh kumpulan kongsi gelap.
"Hasil siasatan kami mendapati kumpulan kongsi gelap ini menawarkan perlindungan, khususnya ketika mereka memindahkan diesel di laut.
"Mereka memerlukan bantuan pihak ini untuk memindahkan bahan api dan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa di sana," katanya.
Azam berkata, terdapat dua kenamaan bergelar Datuk turut ditahan dalam Ops Karen di Sarawak, baru-baru ini.
"Siasatan turut mendedahkan kemungkinan sindiket berkenaan merasuah anggota penguat kuasa sebagai balasan untuk perlindungan," katanya.
Sumber:Berita Harian Online