Suspek bergelar Datuk ditahan bersama bekas Timbalan Speaker Dewan Negara

Tarikh: 16/04/2025
img

MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menahan seorang lagi suspek bergelar Datuk bersama bekas Timbalan Speaker Dewan Negara kerana disyaki menerima rasuah membabitkan kerja penambakan laut di kawasan perairan Kota Laksamana di negeri ini.

Menurut sumber, mereka ditahan selepas disyaki menerima rasuah empat unit kenderaan mewah selain wang tunai yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah kira-kira RM300,000 daripada seorang pemilik syarikat bergelar Datuk membabitkan kerja penambakan laut itu.

Katanya, kedua-dua mereka termasuk bekas Timbalan Speaker Dewan Negara yang berusia lingkungan 60-an itu ditahan antara jam 4.30 hingga 5 petang semalam ketika hadir di Pejabat SPRM Melaka bagi dirakamkan keterangan.

"Suspek yang berjawatan sebagai pengarah urusan sebuah syarikat dipercayai menerima rasuah empat unit kenderaan mewah selain wang tunai yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah kira-kira RM300,000 daripada seorang pemilik syarikat bergelar Datuk.

"Suspek disyaki menerima rasuah berkenaan sekitar 2021 hingga 2023 sebagai balasan kerana memberikan kerja-kerja menambak laut seluas kira-kira 100 ekar (40.46 hektar) kepada syarikat milik individu bergelar Datuk terbabit," katanya, hari ini.

Perintah reman selama enam hari sehingga 20 April 2025 terhadap suspek dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kedua-dua suspek dan berkata, suspek kedua bergelar Datuk bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM sebaik keterangannya selesai dirakamkan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

MACC FM
My Anti-Corruption Channel