ALOR SETAR: Pasangan suami isteri antara empat individu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan insentif Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pemilik Fuad Trading Industry Sdn Bhd, Hafizoh Hamid, 50, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu, manakala suaminya, Fuad Osman, 65, turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, Hafizoh didakwa mengemukakan dua Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 yang mengandungi penyataan palsu kepada seorang ejen PERKESO Cawangan Pemantauan dan Pembangunan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sultan Badlishah, di sini, pada 13 Jun 2024 dan 2 Oktober 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Fuad pula didakwa bersubahat dengan Hafizoh mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.
Mahkamah membenarkan Hafizoh dan Fuad yang diwakili peguam Datuk Ghazali Cha diikat jamin RM7,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta menetapkan 27 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada prosiding sama, Pengarah Westfield Retailing Sdn Bhd, Lee Zi Hao, 35, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 yang mengandungi penyataan palsu kepada seorang ejen PERKESO melalui seorang individu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan KLC 4, Kulim Landmark Central, Kulim pada 1 Mac 2024, 6 September 2024 dan 25 Oktober 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bapanya, Lee Kai Fuat, 63, turut mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan bersubahat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.
Mahkamah kemudian membenarkan Zi Hao dan Kai Fuat yang diwakili peguam Hari Prassaad Rao diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 8 September depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Kamarusan Kamis.
Sumber : Berita harian Online