Sumber berkata, setakat ini sebanyak 13 akaun bank bernilai RM9.33 juta sudah dibekukan bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan SPRM sudah merekodkan keterangan 36 individu berkaitan kes berkenaan.
Seramai 32 saksi dan empat bekas pegawai Ismail Sabri yang ditahan sebelum ini sudah dirakam percakapan setakat semalam.
Sementara, seramai 23 saksi baharu akan dipanggil dalam masa terdekat ini untuk dirakam keterangan.
Jumaat lalu, pegawai penyiasat SPRM menemubual seorang doktor bergelar Datuk di sebuah hospital di Petaling Jaya yang merawat Ismail Sabri bagi mengetahui sejauh mana tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera itu.
Ismail Sabri sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, namun keadaan beliau dikatakan masih tidak cergas.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, proses rakaman percakapan itu ditunda, esok kerana Ismail Sabri diberikan sijil cuti sakit (MC).
Pada 10 Februari lalu, Ismail Sabri menghantar maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari lalu.
Terdahulu, SPRM dalam kenyataan memaklumkan menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas bernilai hampir RM7 juta di beberapa lokasi berkaitan siasatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).