KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh peranan dalam agenda antirasuah antarabangsa menerusi Persidangan Rangkaian Pengamal Penguatkuasaan Mencegah Rasuah Rentas Sempadan yang berlangsung di ibu pejabat Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Paris, Perancis.
SPRM dalam kenyataan berkata, delegasi negara diketuai Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abd Halim Aman yang turut diberi penghormatan menyampaikan ucapan pembukaan sebelum sesi pembentangan oleh Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Norhaizam Muhammad.
Mesyuarat bertemakan Following the Money: Tracking Corrupt Assets and Halting Illicit Financial Flows berlangsung pada 23 hingga 24 Jun lalu.
“Ia menghimpunkan pegawai penguat kuasa, pendakwa raya serta pakar antirasuah dari pelbagai negara bagi berkongsi pengalaman dan amalan terbaik menangani rasuah rentas sempadan, pengesanan aset dan aliran kewangan haram,” kata kenyataan itu hari ini.
SPRM berkata, Abd Halim dalam ucapannya menegaskan, komitmen berterusan Malaysia memperkukuh usaha memerangi rasuah melalui kerjasama erat di peringkat domestik dan antarabangsa khususnya dalam siasatan serta pemulihan aset berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sementara itu, Norhaizam pula berkongsi pengalaman mengendalikan siasatan kes 1MDB termasuk kerjasama pelbagai agensi di dalam dan luar negara, penggunaan pendekatan intelligence-based investigation (IBI), teknik mengesan aliran dana haram serta pelaksanaan proses pemulihan aset yang membabitkan pelbagai bidang kuasa.
“Perkongsian itu turut memberi penekanan kepada kepentingan kerjasama rentas negara dalam meningkatkan keberkesanan siasatan kes rasuah berprofil tinggi selain mempercepat usaha mengesan, membekukan dan mendapatkan semula aset yang diperoleh melalui aktiviti rasuah,” jelasnya.
Sepanjang lawatan itu, delegasi SPRM turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Pengurus Kanan Antirasuah OECD Global Initiative, Elodie Beth selain mengadakan perbincangan dengan Ketua Bahagian Anti-Rasuah, Direktorat Hal Ehwal Kewangan dan Perusahaan (DAF), OECD, Julia Fromholz.
Pertemuan berkenaan membuka ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini agenda antirasuah di peringkat antarabangsa di samping memperkukuh hubungan strategik antara SPRM dan OECD bagi memperluaskan kerjasama dalam aspek penguatkuasaan, pencegahan rasuah serta pembangunan kapasiti.
SUMBER - MalaysiaGazette