KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tegas menolak dakwaan bahawa ia mengamalkan siasatan guna dua darjat (double standard).
Dakwaan itu adalah sama sekali tidak berasas dan tidak mencerminkan prinsip profesionalisme, integriti serta tatacara kerja yang menjadi pegangan SPRM dalam melaksanakan setiap siasatan.
SPRM dalam kenyataan pagi ini memaklumkan sudah memulakan siasatan berhubung isu perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) membabitkan sebuah kementerian pada 7 Oktober 2026.
Sehingga kini, seramai 20 saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Siasatan masih diteruskan dan SPRM sedang meneliti segala maklumat serta keterangan yang diperoleh bagi memastikan setiap aspek berkaitan perkara ini disiasat secara menyeluruh.
SPRM menghormati hak semua pihak untuk menyuarakan pandangan, kritikan dan teguran.
Namun, sebarang dakwaan atau kenyataan yang dibuat hendaklah berlandaskan fakta yang sahih dan disampaikan secara bertanggungjawab, bukannya berdasarkan persepsi atau andaian semata-mata.
SPRM ingin menegaskan bahawa setiap siasatan dilaksanakan berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang, tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang mana-mana individu.
SPRM kekal komited untuk menjalankan tanggungjawabnya secara profesional, bebas, adil dan telus demi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang sentiasa dipelihara.
Sumber; Berita Harian Online