KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang warga Singapura yang melarikan diri selama empat tahun dan dikehendaki oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), Singapura.
Suspek lelaki berusia lingkungan 30-an yang bekerja sendiri itu ditahan kira-kira jam 7 malam, pada Ahad lalu, dalam operasi bersepadu melalui Bahagian Perisikan SPRM dan SPRM Cawangan Johor.
Operasi itu turut mendapat kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Johor.
Menerusi kerjasama rentas agensi antarabangsa CPIB dan Cawangan Bantuan Bersama Siasatan Luar Negara SPRM, pihak berkuasa Malaysia menyerahkan suspek kepada CPIB semalam di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, Johor.
BH difahamkan, siasatan awal mendapati suspek disyaki terbabit dalam kes rasuah di Singapura, selain masuk ke negara ini secara haram.
Suspek juga dikatakan turut dipercayai memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa Malaysia sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun beliau enggan mengulas lanjut.
Ini kejayaan kerjasama rentas agensi antarabangsa kedua dilakukan SPRM dengan negara luar dalam terdekat ini.
Minggu lalu, agensi antirasuah berkenaan menyerahkan seorang lelaki warga China yang dikehendaki oleh pihak berkuasa negara itu kepada Kedutaan China, iaitu kerjasama di antara SPRM dan National Commission of Supervision of the People's Republic of China (NCS).
Sumber : Berita Harian Online