KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pengerusi serta bendahari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan seorang pengarah syarikat kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan program sumbangan makanan asas berjumlah kira-kira RM5 juta.
Perintah reman selama empat hari sehingga 28 Februari ini terhadap ketiga-tiga suspek dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an ditahan antara jam 3 hingga 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
"Siasatan awal mendapati kesemua suspek di mana bendahari NGO terbabit juga adalah pengarah syarikat itu disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu pada tahun 2021 hingga 2023.
"Kesemua suspek dipercayai mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berkaitan program sumbangan makanan asas dengan niat untuk mengelirukan pihak NGO tempat pengerusi dan bendahari itu berkhidmat sehingga menyebabkan pertubuhan itu membuat pembayaran berjumlah kira-kira RM5 juta," katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Datuk Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sumber : Berita Harian Online