SPRM tahan pengarah jabatan kewangan PBT disyaki guna dana RM50 juta buat pelaburan saham

Tarikh: 17/06/2025
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah sebuah jabatan kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka, hari ini.

Ia berikutan lelaki terbabit disyaki menyalahgunakan kuasanya menggunakan dana PBT itu berjumlah RM50 juta untuk membuat pelaburan saham.

Sumber memaklumkan bahawa suspek berusia 50-an itu ditahan kira-kira jam 1 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.

"Suspek disyaki melakukan perbuatan itu dari 2020 hingga 2023 dengan melantik isterinya yang bekerja di sebuah bank, sebagai ejen pelaburan bagi pelaburan saham berjumlah kira-kira RM50 juta.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan dana wang awam dan juga wang amanah itu tanpa kelulusan pegawai pengawal kewangan," katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.



MACC FM
My Anti-Corruption Channel