SPRM tahan pembantu penguat kuasa disyaki terima rasuah RM11,000

Tarikh: 12/02/2025
img

KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pada Selasa menahan seorang pembantu penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM11,000.


Lelaki berusia 30-an itu ditahan kira-kira jam 4.30 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu di sini.


Menurut sumber, suspek yang bertugas di sebuah agensi kerajaan di negeri ini disyaki mendapatkan habuan rasuah itu daripada sebuah syarikat sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori milik syarikat tersebut yang melakukan kesalahan jalan raya.


Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sejak Januari 2023 hingga Oktober 2024.


Suspek juga disyaki menerima suapan secara bulanan antara RM450 hingga RM550 melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya.


Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


"Suspek ditahan selama 24 jam dan dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin," katanya.


Sumber: Sinar Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel