SPRM tahan pegawai kerajaan disyaki minta, terima rasuah RM19,000

Tarikh: 14/08/2026
img

KUANTAN: Seorang pegawai wanita sebuah agensi kerajaan di Pahang ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM19,000 sebagai balasan membantu mendapatkan tender dan kontrak di sebuah agensi kerajaan lain di negeri ini.

Menurut sumber, penjawat awam dalam lingkungan usia 30-an itu ditahan sekitar jam 6.45 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Temerloh.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2016 hingga 2021.

"Wanita itu dipercayai menerima wang rasuah daripada beberapa syarikat dan individu melalui transaksi pemindahan wang ke dalam akaun bank peribadi miliknya," kata sumber berkenaan.

Wanita terbabit kini direman selama lima hari hingga 19 Ogos ini selepas Majistret Anis Adlina Abu Johan membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini.

Sementara itu Pengarah SPRM Pahang, Mohamad Shukor Mahmud, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.


Sumber : Berita Harian Online



MACC FM
My Anti-Corruption Channel