KUALA LUMPUR: Seorang anggota penjara ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3,000 sebagai balasan membawa masuk barangan terlarang ke dalam penjara.
Penahanan terbaharu itu berlaku kurang seminggu selepas SPRM Pahang menahan seorang anggota penjara atas kesalahan sama.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 11.50 pagi semalam di rumahnya di Sungai Petani, Kedah.
"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada Mac lalu ketika bertugas di sebuah penjara di Melaka.
"Suspek disyaki menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan ke akaun e-dompet (e-wallet) miliknya sebagai dorongan untuk membawa masuk barangan larangan ke dalam penjara," katanya, hari ini.
Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Katanya, Majistret Uthman Abd Ghani mengeluarkan perintah reman selama enam hari sehingga 10 Ogos terhadap suspek selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, pagi tadi.
Pada 28 Julai lalu, SPRM Pahang menahan seorang penjawat awam yang bertugas di sebuah penjara di Bentong kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM4,500 daripada ahli keluarga beberapa banduan sebagai balasan membawa masuk bahan terlarang untuk kegunaan banduan.
Siasatan awal SPRM mendapati wang rasuah itu dimasukkan ke dalam akaun bank milik suspek antara Januari hingga Mac tahun ini.
Sumber : Berita Harian Online