KOTA KINABALU: Seorang juruukur bahan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini ditahan kerana disyaki menerima wang suapan lebih RM200,000 daripada kontraktor dan pembekal sebagai balasan membantu mendapatkan projek-projek kerajaan.
Suspek lelaki berusia 30-an itu diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah ketika hadir memberi keterangan di pejabat agensi berkenaan kira-kira jam 7 malam tadi.
Perintah reman selama empat hari hingga 13 Julai ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Wan Farrah Farizza Wan Ghazali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pagi tadi.
Sumber berkata, suspek disyaki menerima wang rasuah lebih RM200,000 daripada beberapa kontraktor dan syarikat pembekal melalui pelbagai transaksi sebagai habuan membantu mendapatkan projek bawah PBT itu.
"Antaranya projek pembasmian kemiskinan, pembinaan baharu Rumah Mesra Sabah, pembersihan pusat pembuangan sampah dan pembekalan alat ganti kerajaan.
"Transaksi dipercayai berlaku antara 2021 hingga 2024 membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM200,000," katanya.
Sementara itu Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sumber BH