KUALA LUMPUR: Dua pengamal undang-undang sebuah syarikat guaman ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bernilai RM8 juta bagi sebuah projek pembangunan di ibu negara.
BH difahamkan, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 9.45 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Difahamkan, dua peguam itu mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu untuk pengeluaran dana pemegang amanah bagi sebuah projek pembangunan hartanah di ibu negara berjumlah kira-kira RM8 juta.
Sumber berkata, perbuatan itu disyaki untuk kepentingan peribadi dan pelaburan.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan terbabit pada 2023 hingga 2025.
"Wang berjumlah kira-kira RM8 juta iaitu wang amanah yang sepatutnya digunakan bagi penyelenggaraan sebuah bangunan, dipercayai masih belum diserahkan kepada pihak pemaju," katanya di sini hari ini.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar ketika dihubungi BH mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Majistret Ezrene Zakariah memutuskan perintah reman selama empat hari sehingga 25 April 2026 terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Sumber : Berita Harian Online