SEREMBAN: Dua individu, termasuk seorang timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM600,000 daripada beberapa syarikat pelabur.
Kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan, disyaki menerima rasuah sebagai balasan memudahkan urusan permohonan syarikat terbabit.
Sumber memaklumkan, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu dari 2019 hingga 2024.
"Suspek disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM600,000 daripada syarikat-syarikat pelabur sebagai balasan membantu memudahkan syarikat berkenaan mendapatkan kelulusan yang dimohon.
"Kedua-dua suspek disyaki menerima wang rasuah melalui transaksi pindahan ke akaun bank sebuah syarikat perunding yang berperanan sebagai orang tengah," katanya.
Menurutnya, suspek direman enam hari sehingga 26 Januari ini selepas permohonan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali dibuat di Mahkamah Majistret Jenayah 2, di sini, pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.