KUALA LUMPUR: Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun Persekutuan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malam tadi, kerana disyaki menerima rasuah berkait kontrak pembinaan gelanggang skuasy.
Menurut sumber SPRM, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 7.20 malam di sebuah pusat beli-belah di Bukit Jalil.
Tangkapan dibuat sejurus suspek dipercayai menerima wang tunai RM100,000 daripada seorang kontraktor binaan.
Difahamkan, suspek sebelum ini meminta wang rasuah berjumlah RM1 juta sebagai balasan untuk memberikan kelulusan bayaran tuntutan kepada kontraktor berkenaan.
"Suspek juga dipercayai telah menerima wang sebanyak RM500,000 sebelum sambutan Aidilfitri sebagai bayaran pendahuluan," kata sumber itu lagi.
Susulan penahanan itu, suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, esok, bagi permohonan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut.
Sumber : Berita Harian Online