SPRM tahan bekas CEO yayasan, pengerusi NGO kes tuntutan palsu RM2.1j

Tarikh: 28/08/2025
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah yayasan milik institusi perbankan dan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana dipercayai terbabit tuntutan palsu berjumlah lebih RM2.1 juta.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan kedua-dua suspek direman lima hari sehingga 31 Ogos selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki, masing-masing berusia lingkungan 30 dan 50-an ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putarajaya sekitar jam 5 petang hingga 11.30 malam tadi ketika hadir memberi keterangan.

"Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek dipercayai bersubahat dengan memperaku dan mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan peruntukan kepada sebuah yayasan yang berjumlah lebih RM2.1 juta.

"Tuntutan itu melibatkan bantuan di bawah tabung pendidikan sedangkan program berkenaan tidak dilaksanakan sebagaimana dalam permohonan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


Sumber: Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel