SPRM tahan 8 individu bantu siasatan kes pembekuan aset Padini

Tarikh: 07/05/2026
img

PUTRAJAYA: Seramai lapan individu ditahan bagi membantu siasatan membabitkan pembekuan beberapa akaun milik Padini Holdings Bhd dan anak syarikat tempatan miliknya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya masih menjalankan siasatan kes berkenaan dengan 10 individu sudah diambil keterangan.

"Seramai 15 lagi individu sedang dikesan bagi tujuan diambil keterangan dan kes masih dalam siasatan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Padini Holdings Bhd dan lima anak syarikat tempatan miliknya adalah antara syarikat yang mempunyai 21 akaun bank dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan SPRM terhadap pihak rakan niaga luar.

Kebanyakan akaun dibekukan adalah di bawah Padini Corporation Sdn Bhd dengan tujuh akaun, diikuti Yee Fong Hung (Malaysia) Sdn Bhd dan Padini Dot Com Sdn Bhd dengan masing-masing empat akaun.

Padini Holdings Bhd mempunyai tiga akaun dibekukan, manakala Vincci Ladies' Specialties Centre Sdn Bhd mempunyai dua akaun dan Seed Corporation Sdn Bhd mempunyai satu akaun.

Mengulas lanjut, Azam berkata, pembekuan aset syarikat terbabit masih diteruskan.

"Pegawai penyiasat masih mengatakan perlu dibekukan lagi aset syarikat berkenaan," katanya.

Sementara itu, Azam mengingatkan penjawat awam tidak terbabit rasuah dan salah guna kuasa yang boleh menyebabkan ketirisan kepada negara.

"Saya sudah sebut RM277 bilion hilang dalam tempoh enam tahun lalu dan wang itu perlu dikembalikan kepada rakyat sebanyak mungkin," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel