SPRM tahan 6 pemilik syarikat dalang bawa masuk e-waste, 14 akaun bernilai RM7.2 juta dibeku

Tarikh: 22/01/2026
img

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu pemilik syarikat dipercayai dalang kemasukan e-waste ke dalam negara serta membekukan 14 akaun bernilai RM7.2 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata semua suspek berkenaan kini ditahan reman.

Pada masa sama katanya, SPRM dalam proses menahan dua lagi pemilik syarikat dan tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Setakat ini kita mengesan tujuh syarikat yang mendalangi kegiatan kemasukan e-waste ini dan dua pemilik syarikat lagi dalam proses tangkapan.

"Kemasukan e-waste ini sudah berlaku sejak lima tahun lalu dan pihak terbabit sentiasa cari jalan untuk membawa masuk barangan terlarang ini. Saya tegaskan di sini bahawa undang-undang negara tidak membenarkan kemasukan e-waste.

"Justeru menerusi pendekatan terbaru, kita turut bawa Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menangani isu ini kerana ia membabitkan isu rasuah dan ketirisan wang kerajaan.

"Justeru, pakar di SPRM akan membuat perkiraan kepada akaun syarikat berkenaan berapa banyak nilai keuntungan sepanjang mereka mendalangi kegiatan berkenaan," katanya selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media di sini, hari ini.

Justeru katanya, tindakan tegas perlu diambil bagi menghalang kemasukan e-waste kerana ia menjejaskan alam sekitar.

"Jika kita tidak dapat tangkap mereka di laut atau pintu masuk (negara) memandangkan kemasukan kontena (e-waste) antara 2,000 hingga 3,000 sehari, maka kita tangkap mereka di darat. Ini yang kita cuba lakukan sekarang ini.

"Mereka ini licik menggunakan pelbagai taktik termasuk mencampur dengan barangan lain bagi mengelak dikesan," katanya.

Semalam media melaporkan, SPRM akan memperhebatkan siasatan berhubung kegiatan pengimportan sisa elektronik (e-waste) secara haram, susulan risikan yang mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena e-waste telah diseludup masuk ke negara ini melalui pelabuhan utama.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dilaporkan berkata jumlah itu menunjukkan skala sebenar penyeludupan sisa elektronik yang semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan penguatkuasaan menyeluruh.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel