SPRM tahan 33 individu termasuk 10 penguat kuasa disyaki seleweng dokumentasi, pas lawatan sosial

Tarikh: 10/07/2026
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur beberapa lokasi di empat negeri dan menahan 33 individu termasuk 10 penguat kuasa kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dokumentasi dan pas lawatan sosial.

Difahamkan semua suspek termasuk 25 lelaki berusia lingkungan 20 hingga 50-an itu ditahan antara pukul 10 pagi hingga 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di beberapa pejabat SPRM.

BH dimaklumkan, 10 pegawai penguat kuasa itu dipercayai terbabit menerima rasuah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas pekerja syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, yang berkata semua kes disiasat di bawah beberapa kesalahan, antaranya Seksyen 16(b)(A), 17(a), 17(b) dan 18 Akta SPRM 2009.

Katanya, operasi bersepadu itu adalah melalui Bahagian Perisikan dan SPRM negeri di empat negeri iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya menerusi Op Layer, manakala di Selangor (Op Dalang), Negeri Sembilan (Op Raider) dan Melaka (Op Genuine).

"Saya tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat untuk tujuan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, satu sumber berkata, penahanan 33 individu itu terdiri daripada pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing.

Katanya, semua mereka ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen yang membabitkan warga asing seperti berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja.

"Siasatan awal mendapati semua suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara tahun 2021 hingga 2026 dengan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

"Bagi 10 pegawai penguat kuasa pula, semuanya dipercayai menerima rasuah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas pekerja syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen dan juga mengeluarkan visa, pas dan permit tanpa melalui prosedur yang ditetapkan," katanya.

Sumber berkata, terdapat kesalahan lain yang dilakukan seperti mengemukakan dokumen mengandungi butir material palsu bagi permohonan dan mendapatkan kuota pekerja asing.

Selain itu, BH difahamkan, risikan yang dijalankan sejak Jun tahun lalu juga menyasarkan seramai 43 individu di keempat-empat negeri yang dikaitkan dengan warga asing.

Malah, melalui operasi itu juga SPRM sebenarnya sudah menahan seramai 38 individu, bagaimanapun lima lagi dibebaskan dengan jaminan.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel