KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan lima syor penambahbaikan bagi memperkukuh tatakelola dan proses kelulusan perolehan di Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) susulan kelemahan yang dikenal pasti dalam siasatan tatakelola agensi itu.
SPRM dalam kenyataan berkata, cadangan itu dibentangkan oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM iaitu menambahbaik polisi dan prosedur perolehan yang mengandungi carta alir yang menunjukkan had masa proses serta menambahbaik proses kerja yang lebih efisyen menggunakan kod petender.
Katanya, selain itu, menambah baik beberapa klausa di dalam Limit of Authority (LOA) MHTC berhubung kuasa penuh Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) dan melaksanakan Analisis Risiko iaitu salah satu prinsip penting bagi memenuhi syarat prinsip Tatacara Mencukupi di bawah Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009.
"Penyiasatan tatakelola itu dilaksanakan berdasarkan kepada pembukaan Sampul Kecil Penyiasatan Tatakelola (SKPT) pada tahun lalu yang menemui kelemahan dalam beberapa perkara berkaitan proses kelulusan perolehan di MHTC," katanya.
Kenyatan itu turut menjelaskan semua syor itu disampaikan oleh Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola BPT SPRM, Zulhairy Zaidel kepada Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Suriaghandi Suppiah di Bilik Mesyuarat MHTC di KL Sentral di sini, hari ini.
Sementara itu, Suriaghandi menyambut baik cadangan penambahbaikan yang dikemukakan oleh SPRM dan menyatakan komitmen untuk melaksanakan tindakan sewajarnya bagi mengatasi kelemahan yang dikenal pasti.
Komitmen berkenaan turut dizahirkan melalui Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola di antara SPRM dan MHTC yang ditandatangani oleh Timbalan Pengarah III BPT SPRM, Norazlina Abd Rahim dan Suriaghandi.
Ia mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan tahap ketelusan pengurusan sistem perolehan membabitkan dana awam di negara ini.
Sumber : Berita Harian Online