KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah melengkapkan siasatan berhubung aktiviti "counter setting" di lapangan terbang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata tiga individu didakwa dan sedang menunggu timbalan pendakwa raya untuk membawa kes itu ke mahkamah.
Azam memaklumkan, SPRM turut mencadangkan 11 pertuduhan membabitkan pegawai imigresen.
Selain itu, pihaknya juga mencadangkan tindakan tatatertib diambil ke atas pegawai imigresen terbabit.
"Kami sudah menyiasat, memfailkan pertuduhan dan juga menyerahkan laporan kami kepada Jabatan Imigresen negeri.
"Adalah menjadi kewajipan mereka untuk mengambil tindakan segera berdasarkan syor yang dikemukakan SPRM, khususnya berkaitan tindakan tatatertib," katanya pada sidang media di sini.
Kes "counter setting" membabitkan kakitangan yang membenarkan pelawat masuk ke negara ini tanpa pemeriksaan dokumen yang betul melalui pintu masuk, terutama di lapangan terbang.
Azam berkata, beliau sudah meminta Jabatan Imigresen memandang serius laporan itu dan mendedahkan kepada umum mengenai tindakan susulan yang diambil.
Sebelum ini, Jabatan Imigresen menubuhkan pasukan pemantau untuk membuat semakan rambang terhadap kakitangan bertugas di kaunter dan juga pengembara asing, selain pemasangan pagar automatik (autogate) di semua kaunter manual pemeriksaan Imigresen di pintu masuk utama negara.
Langkah tambahan itu bagi membanteras jenayah counter setting yang turut membabitkan sesetengah pegawainya sehingga urusan kemasukan warga asing ke negara ini dibuat tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
Sumber BHO