SPRM sita dua hotel milik pegawai kanan TLDM bernilai RM2 juta, beku 21 akaun

Tarikh: 26/01/2026
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 21 akaun bank selain menyita aset dianggarkan RM2 juta menerusi Op Layar yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah perolehan projek Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pembekuan akaun itu merangkumi tujuh milik syarikat dan 14 perbankan beberapa individu yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM700,000.

Ia susulan siasatan ke atas beberapa syarikat dipercayai terbabit rasuah bagi mengesyorkan dan melantik syarikat kroni seorang pegawai kanan TLDM.

Dalam siasatan yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM itu, turut disita adalah dua hotel milik pegawai kanan TLDM berkenaan bernilai kira-kira RM2 juta.

Difahamkan, SPRM juga sedang membuat semakan ke atas beberapa syarikat dengan Jabatan Akauntan Negara sama ada terdapat tender atau sebut harga oleh syarikat-syarikat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, SPRM sedang mempergiatkan siasatan ketika ini.

Katanya, sehingga hari ini SPRM sedang merakam percakapan tujuh individu yang disyaki terbabit dalam kes itu.

Beberapa hari lalu, SPRM menahan seorang pengarah syarikat dan pegawai kanan Tentera TLDM kerana disyaki terbabit rasuah dengan mengesyorkan serta melantik syarikat kroninya untuk mendapatkan kerja sebut harga di tempat pegawai kanan itu bertugas.

Susulan itu, kedua-dua suspek direman tujuh hari hingga 29 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel