SPRM siasat 'orang dalam' kes tipu tukar milik tanah di Johor

Tarikh: 22/01/2025
img

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat kes penipuan pindah milik tanah tanpa pengetahuan pemilik asal yang dilakukan secara bersindiket membabitkan 'orang dalam' Pejabat Tanah dan Galian (PTG) di Johor.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya memandang serius berhubung isu rasuah dan penipuan berbentuk pemalsuan dokumen serta seumpamanya.


Katanya, apabila melibatkan entiti kerajaan terutama membabitkan pejabat tanah dan galian, perkara pertama bukan sahaja tentang pelanggaran proses tetapi juga di bawah Kanun Tanah Negara serta isu rasuah.


"Kita telah menubuhkan satu pasukan di bawah SPRM Johor untuk siasat kes ini.


"Setakat ini kes di Johor dan berdasarkan pengalaman lepas, saya pernah nyatakan berlaku di beberapa negeri dan SPRM ambil tindakan seterusnya dan perlu lihat apa kelemahan undang-undang yang ada," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Selasa.


Tambah Azam, jadi, bila hasil siasatan SPRM menunjukkan ada ruang dan peluang berlakunya penipuan dan rasuah, pihaknya akan pergi lebih lanjut untuk lihat apa ruang dan peluang itu.


Pada Isnin, Sinar Harian menerusi laporan khas melaporkan kegiatan penipuan pindah milik tanah dikesan dilakukan secara bersindiket dengan membabitkan kakitangan yang mudah akses, data dan sistem maklumat berkomputer di PTG.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kegiatan tersebut dilakukan secara bersindiket bagi memindahkan nama pemilik tanah.


Sindiket kemudian mengupah ‘orang dalam’ untuk mengeksploitasi sistem dengan memadam serta menghilangkan rekod-rekod berkaitan pindah milik hartanah.


Paling mengejutkan, ada beberapa kes yang polis terima didapati nama pemilik tanah hilang daripada daftar pejabat tanah dan ini hanya mampu dilakukan dari dalam pejabat tanah.


Sumber: Sinar Harian


MACC FM
My Anti-Corruption Channel