KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di Negeri Kedah.
BH dimaklumkan, SPRM Kedah menerima aduan daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH) pada 26 Ogos 2026 lalu dan satu kertas siasatan sudah dibuka.
Difahamkan, kertas siasatan itu adalah bagi menyiasat aduan berhubung kelewatan pembekalan baja oleh pihak yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memenuhi keperluan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkeluasan 100,000 hektar.
Siasatan dilakukan SPRM Kedah bagi menyiasat bukan sahaja daripada aspek jenayah malah termasuk sebarang isu kelemahan tatakelola yang wujud sehingga berlakunya kelewatan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan SPRM menyiasat proses berkaitan kelewatan pengagihan baja kepada pesawah di Kedah.
Anwar berkata, kelewatan itu menjejaskan pesawah yang sudah menyuarakan kebimbangan dan menyerahkan memorandum kepadanya.
Sementara itu, BH juga difahamkan SPRM sudah merakam percakapan seorang saksi daripada PESAWAH dan turut menerima beberapa dokumen untuk membantu siasatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan siasatan berkenaan dibuka di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
"SPRM menyambut baik gesaan serta keprihatinan Perdana Menteri mengenai isu ini dan sudah berhubung dengan pihak KPKM serta MADA bagi siasatan lanjut," katanya.
Sumber : Berita Harian Online