SPRM serah lelaki dikehendaki kepada Kedutaan China

Tarikh: 20/11/2026
img

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga China yang dikehendaki pihak berkuasa negara itu diserahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Kedutaan China di Kuala Lumpur, semalam.

Ini susulan penahanan yang dilakukan SPRM terhadap suspek berusia 50 tahun itu menerusi kerjasama rentas agensi antarabangsa National Commission of Supervision of the People's Republic of China (NCS).

Difahamkan, lelaki yang bekerja sendiri itu ditahan pada 17 November lalu kira-kira jam 9 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Maklumat yang diterima dan disiasat SPRM ketika itu berkaitan dakwaan suspek memberi wang rasuah kepada pegawai penguat kuasa sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atasnya berkaitan kes penipuan dan pengubahan wang haram.

Namun, semakan juga mendapati suspek turut berada dalam senarai individu dikehendaki NCS, selain pasport miliknya sudah dibatalkan kerajaan China.

Sehubungan itu, BH dimaklumkan, SPRM kemudiannya merujuk kes itu kepada Jabatan Imigresen Malaysia serta Kedutaan China sebelum suspek diserahkan semalam untuk tindakan lanjut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Sementara itu, Abd Halim berkata, hubungan kerjasama di antara SPRM dan NCS terus berkembang sejak pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pada 17 Oktober 2023 yang menjadi landasan penting dalam memperkukuh usaha bersama memerangi rasuah.

"MoU ini mempunyai tempoh kuat kuasa selama lima tahun dengan pembaharuan secara automatik.

"Pertemuan ini diharap dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama di antara kedua-dua institusi, khususnya menerusi perkongsian kepakaran dan pengalaman bagi memperkukuh keberkesanan usaha pencegahan serta pembanterasan rasuah," katanya.

Semalam, NCS berkunjung ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, yang diketuai Timbalan Setiausaha Central Commission for Discipline Inspection merangkap Naib Pengerusi NCS, Sun Xinyang.

Kunjungan hormat itu bertumpu kerjasama dalam aspek pencegahan rasuah, penyiasatan dan penguatkuasaan.

Ini juga bertujuan memperkukuh hubungan dua hala menerusi pertukaran pandangan, perkongsian pengalaman serta penerokaan peluang kerjasama dalam usaha membanteras rasuah.

Turut hadir Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin; Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk S Karunanithy; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Hairuzam Mohd Amin @ Hamim dan Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Lim Bee Kean.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel