KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menilai aduan dakwaan percanggahan dokumen kargo petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, R Jeyenderan yang membuat aduan berkenaan menerusi e-mel pada pertengahan Jun berkata, ia masih dalam siasatan.
"Kami menghormati SPRM dan proses siasatan.
"Kami hanya mahu mengetahui status terkini dan sama ada maklumat tambahan diperlukan," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Jeyenderan hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk mendapat perkembangan siasatan.
Media sebelum ini melaporkan kebimbangan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berhubung dakwaan percanggahan dokumen kargo petroleum kerana ia boleh membuka ruang kepada pelbagai bentuk salah laku.
Presidennya Jais Abdul Karim dipetik berkata SPRM wajar memberi perhatian segera terhadap dakwaan itu jika ada elemen rasuah, salah guna kuasa atau pemalsuan dokumen.
Dalam pada itu, Jeyenderan percaya siasatan dan dapatan dalam aduan itu berpotensi memberi kesan lebih luas terhadap industri maritim.
"Ia membabitan pematuhan kawal selia, hasil kerajaan serta keyakinan terhadap industri maritim dan petroleum," katanya.
Sumber : Berita Harian Online