KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan penganalisis politik, James Chai, yang juga bekas pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, bagi membantu siasatan.
SPRM memaklumkan Chai, atau nama penuhnya Chai Jin Shern, sedang dikesan bagi membantu siasatan, namun tidak didedahkan butiran mengenai kes yang sedang disiasat.
Justeru, SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan lelaki itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Mohd Hafidz Abd Halim di talian 0175046503.
"Alamat terakhir Chai yang diketahui ialah di No. 10, Jalan Nikel 7/26A, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor," menurut kenyataan itu hari ini.
Chai sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Rafizi ketika Ahli Parlimen Pandan itu memegang portfolio Menteri Ekonomi.
SPRM sebelum ini mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian mega antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.
Ia susulan penelitian SPRM terhadap maklumat diberikan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung seorang bekas menteri kanan sebuah kementerian.
Siasatan awal SPRM mendapati perjanjian mega RM1.1 bilion dipercayai dimeterai secara tergesa-gesa oleh Kementerian Ekonomi.
Rafizi sendiri mengesahkan beliau sedia berdepan sebarang siasatan berhubung dakwaan salah laku dan rasuah membabitkan dua dasar utama kerajaan ketika beliau menerajui Kementerian Ekonomi.
Sumber : Berita Harian