SPRM reman 2 penguat kuasa rasuah lindung penjualan ketum

Tarikh: 16/01/2025
img

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua anggota penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM6,000.

Perintah reman lima hari sehingga 19 Januari itu dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali selepas mendapat permohonan SPRM di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah, kira-kira jam 2 petang semalam.

Katanya, mereka dipercayai meminta dan menerima suapan sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas kegiatan penjualan ketum di negeri ini.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan terbabit sekitar Jun 2023.

"Mereka telah menerima rasuah kira-kira RM6,000 daripada peniaga ketum sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas aktiviti berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Sumber BH Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel