KUALA LUMPUR: Dua anggota polis direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes dakwaan meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM10,000 daripada empat pekerja rumah urut disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Perintah reman bermula hari ini hingga 17 April itu dikeluarkan Majistret Arunjothy M Selvaraju di Mahkamah Majistret, di sini, selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan dalam operasi berasingan di sekitar ibu kota dan Pejabat SPRM Kuala Lumpur antara jam 11 malam tadi hingga 5 pagi hari ini.
"Wang berkenaan dipercayai sebagai balasan untuk melepaskan empat pekerja rumah urut yang disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial bagi tujuan pekerjaan," katanya kepada Bernama.
Menurut sumber itu lagi, kedua-dua suspek dipercayai menerima wang rasuah secara tunai berjumlah RM7,000 pada sebelah pagi, manakala baki RM3,000 lagi diserahkan pada malam hari sama sebelum penahanan dibuat.
Sementara itu Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sumber : Berita Harian online