SPRM peroleh perintah larangan transaksi AS$1.7 juta dari akaun bank di Barbados berkait dana 1MDB

Tarikh: 29/04/2026
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh perintah larangan transaksi membabitkan wang kira-kira AS$1.7 juta (kira-kira RM6.7 juta) yang dipercayai membabitkan dana diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SPRM melalui kenyataan memaklumkan perintah larangan transaksi itu membabitkan wang berkenaan yang disimpan dalam dua akaun perbankan di Amicorp Bank and Trust Limited di Barbados.

Perintah larangan dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid hari ini selepas berpuas hati dengan permohonan pihak pendakwaan yang menunjukkan dana berkenaan mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Permohonan dibuat di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)

Menurut SPRM, wang terbabit susulan siasatan dijalankan Bahagian Operasi Khas pihaknya yang mendapati dalam tempoh antara 2014 hingga 2019, beberapa individu yang juga pemegang akaun bank serta pengarah kepada beberapa syarikat yang ditubuhkan di luar negara disyaki terbabit aktiviti menerima, menyembunyi, memindah dan mengubah wang hasil daripada aktiviti haram melalui akaun-akaun bank syarikat berkenaan di Barbados.

"Susulan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan perintah larangan transaksi kewangan membabitkan wang berjumlah AS$56,285.88 dalam akaun milik Lambasa Global Opportunity Fund BV dan wang berjumlah AS$1,649,118.40 dalam akaun milik Universal Ventures Fund SCC," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, perintah larangan berkenaan selaras komitmen SPRM untuk terus mengesan, membeku dan melucut hak wang serta aset hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram termasuk di luar negara berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel