KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai sudah mendapatkan dokumen termasuk berkaitan perjanjian pelaburan RM163 juta antara Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dengan syarikat eFishery di Indonesia.
BH difahamkan, tindakan itu dibuat selepas pasukan pegawai penyiasat dikerahkan ke Ibu Pejabat KWAP di Cyberjaya pada awal minggu ini.
Sumber berkata, siasatan terus dijalankan selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, menubuhkan satu pasukan khas pada minggu lalu.
"Pasukan penyiasat sedang melengkapkan siasatan dan meneliti beberapa dokumen yang sudah diperoleh pihaknya. Mereka dilaporkan sudah ke Ibu Pejabat KWAP sejak kelmarin," katanya kepada BH di sini, hari ini.
Sementara itu, BH difahamkan satu kenyataan mengenai siasatan itu dijangka dikeluarkan Abd Halim, dipercayai pada petang ini.
BH ketika ini belum mendapatkan pengesahan setakat ini, namun sebelum ini melaporkan kenyataan itu akan dikeluarkan pada minggu ini.
Beberapa hari lalu, SPRM dilaporkan sudah memulakan siasatan berhubung isu kerugian pelaburan berjumlah RM163 juta oleh KWAP dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.
Abd Halim berkata, satu pasukan siasatan dari Ibu Pejabat SPRM dibentuk bagi mengkaji dan meneliti isu berkenaan secara menyeluruh.
Katanya, siasatan akan dilaksanakan dengan adil, telus dan saksama berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.
BH kemudian melaporkan, pematuhan prosedur dan tatakelola ketika KWAP membuat keputusan melabur dalam syarikat eFishery turut disiasat pasukan khas yang ditubuhkan SPRM itu.
Dua aspek itu adalah antara skop siasatan yang sudah dimulakan SPRM, selain unsur jenayah atau rasuah dalam pelaburan berkenaan yang menyebabkan KWAP dilaporkan kerugian kira-kira RM163 juta akibat manipulasi laporan kewangan oleh pengurusan kanan syarikat terbabit.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, mengesahkan pelbagai aspek siasatan dilaksanakan dalam siasatan suruhanjaya itu terhadap pelaburan KWAP berkenaan.
Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF), dalam jawapan bertulis di Parlimen, mengesahkan pelaburan KWAP dalam eFishery menjadi mangsa penipuan terancang susulan manipulasi laporan kewangan oleh pengurusan syarikat itu.
MOF berkata, konsortium pelabur termasuk KWAP sudah mengambil langkah tegas termasuk tindakan undang-undang, meneruskan usaha pemulihan dana, melaksanakan semakan tatakelola dalaman serta memperkukuh kawalan bagi melindungi kepentingan pelaburan.
Sumber : Berita Harian Online