SPRM perlukan integriti tak boleh dipersoal

Tarikh: 08/06/2026
img

'Individu berintegriti tidaklah kebal. Mereka juga manusia seperti semua orang.' Ungkapan Giovanni Falcone, hakim Itali yang menjadi simbol perang terhadap mafia sebelum terkorban dalam serangan bom pada 1992 itu mengandungi peringatan penting kepada semua institusi penguat kuasa. Mereka yang diberi amanah memerangi rasuah tidak boleh mengharapkan kepercayaan awam diberikan secara automatik, sebaliknya perlu dibina dan dipertahankan setiap hari. Kata-kata Falcone wajar dijadikan azimat oleh bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman yang kini memikul amanah sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini kerana cabaran terbesar SPRM hari ini bukan sekadar memburu perasuah baik secara individu mahupun kartel, sebaliknya memastikan integriti suruhanjaya itu sendiri tidak boleh dipersoalkan. Agensi yang diberi kuasa menyiasat orang lain mesti terlebih dahulu mampu meyakinkan rakyat bahawa seluruh organisasinya berada pada standard integriti tertinggi. Ini bermakna bukan sahaja pegawai penyiasat di lapangan, malah barisan kepemimpinan tertinggi termasuk Ketua Pesuruhjaya sendiri perlu sentiasa tampak bersih, telus dan bebas daripada sebarang konflik kepentingan atau persepsi yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi.

Dalam konteks ini, kepemimpinan baharu perlu mengambil iktibar daripada pengalaman era Tan Sri Azam Baki. Sama ada adil atau tidak dan berfakta atau spekulasi, beberapa isu timbul sebelum ini akhirnya berkembang menjadi polemik besar kerana persepsi awam tidak ditangani secara tuntas sejak awal. Dalam dunia penguatkuasaan moden, persepsi ibarat api kecil tidak boleh dibiarkan membakar kepercayaan umum, jauh sekali disapu ke bawah permaidani pejabat SPRM.

Pada masa sama, tugas SPRM selepas ini menjadi semakin bervariasi. Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, suruhanjaya berkenaan mengendalikan pelbagai siasatan berprofil tinggi membabitkan bekas pemimpin negara termasuk mantan Perdana Menteri, ahli politik, tokoh korporat dan individu berpengaruh. Keadaan ini menjadikan setiap tindakan SPRM diperhatikan bukan sahaja oleh rakyat, malah dianalisis melalui lensa politik kepartian. Apa sahaja keputusan diambil akan ditafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai memihak atau menekan pihak tertentu.

Justeru, SPRM memerlukan lebih daripada keberanian menyiasat, iaitu perlindungan institusi lebih kukuh. Kerajaan sudah memulakan reformasi pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, tetapi bagaimana pula dengan cadangan meletakkan suruhanjaya itu di bawah Parlimen? Ini kerana persepsi campur tangan politik akan terus menghantui kes berprofil tinggi selagi reformasi tidak dilaksanakan lebih menyeluruh untuk mengukuhkan keyakinan terhadap proses penyiasatan dan pendakwaan, sekali gus memberi ruang untuk pegawai menjalankan tugasnya dengan lebih bebas dan diyakini.

SPRM sudah menjadi agensi penguat kuasa paling digeruni di negara ini, tetapi untuk muncul sebagai institusi antirasuah bertaraf dunia, jalannya masih panjang. Ini kerana ia memerlukan integriti yang tidak boleh dipersoal, ketelusan dapat dilihat rakyat serta reformasi institusi yang berani. Jika asas itu berjaya diperkukuhkan, SPRM bukan sahaja mampu memburu daripada bilis hingga jerung besar, malah boleh terbang jauh sebagai institusi yang benar-benar dihormati dan dipercayai rakyat.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel